WASHINGTON – Beberapa anggota tertinggi parti Demokrat melabel ancaman dalam bentuk penghantaran bungkusan dipercayai mengandungi bom kepada anggotanya dan stesen penyiar CNN sebagai akibat daripada retorik politik ganas yang dipromosikan Presiden Donald Trump, yang turut mengutuk perbuatan tersebut.
“Sejak sekian lama, Donald Trump dilihat sering menggesa supaya pengkritiknya di penjara selain memuji keganasan terhadap wartawan,” kata Perwakilan Amerika Syarikat Bill Pascrell, seorang wakil Demokrat New Jersey.
“Bahaya ekstremisme sayap kanan tidak boleh diabaikan dan lebih banyak perhatian harus diberikan sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.”
Seorang profesor retorik di Universiti Richmond, Paul Achter, berkata Trump yang sering bernada ganas meningkatkan kemungkinan perilaku ganas.
“Penyalahgunaan lisan ada akibatnya,” kata Achter.
“Hanya kerana Trump tidak menghantar bom atau memukul wartawan atau melepaskan tembakan rambang di sebuah bilik berita tidak bermaksud beliau bebas berkata begitu.”
Selasa lalu polis memintas enam bom yang disyaki dihantar ke sasaran termasuk pesaing presiden Trump pada 2016, Hillary Clinton, bekas Presiden Barack Obama dan penyumbang politik terkemuka George Soros.
Agensi penguatkuasaan undang-undang sedang menyiasat insiden itu. – Reuters/BH ONLINE