PADAH… Gara-gara menyamar jadi pocong, dua remaja tempatan dari Kampung Bojong Liyo di Sukmajaya, Depok, Indonesia dihukum tidur di kubur, demikian menurut laporan Detik News.
“Kami terpaksa panggil ibu bapa mereka selepas ‘pocong’ terbabit menangis di atas kubur. Kami jelaskan sengaja berpura-pura jadi pocong bukan gurauan kerana ia boleh bahayakan orang lain,” kata penduduk kampung, Fachmi.
Portal berita Detik News difahamkan bahawa Fachmi merupakan salah seorang penduduk yang berjaya menangkap ‘pocong’ terbabit. Mereka ditemani para penduduk kampung berkenaan ketika dihukum tidur di kubur.
Hukuman aneh tersebut sebenarnya bertujuan untuk beri pengajaran kepada kedua-dua remaja tersebut agar tidak ulangi perbuatan pelik berkenaan apatah lagi dicontohi orang lain pada masa akan datang pula.
“Kita tidak menggunakan hukuman dalam bentuk fizikal. Ia adalah untuk mengajar mental mereka,” kata seorang lagi penduduk, yang dikenali sebagai Oji.
Pihak berkuasa Indonesia dilaporkan turut bergegas melawati lokasi tersebut bagi menasihatkan kedua-dua remaja berkenaan dan ibu bapa mereka.
Polis bagaimanapun memutuskan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap remaja-remaja tersebut, menurut laporan Detik News.
“Polis tidak mengambil sebarang tindakan. Kami meminta mereka tidak mengulangi perbuatan itu,” kata jurucakap polis, Bronet. – Agensi/Mynewshub.TV