GEORGE TOWN – Seorang pemilik klinik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah kerana mengambil pembantu perubatan untuk menjalankan tugas sebagai pengamal perubatan, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Sesyen Butterworth sebelum ini yang melepas dan membebaskan Dr Abdul Malik Md Yusoff, 63, daripada pertuduhan tersebut.
Dalam keputusannya, Ahmad Sahrir berkata perbuatan tertuduh yang mengambil V.G. Appalanaidu, 68, (ketika kejadian) bekerja dan menjalankan tugas sebagai seorang pengamal perubatan adalah menyalahi serta bercanggah dengan akta bagi pekerja swasta.
Katanya tindakan tertuduh yang memberi pembantu kliniknya menjalankan tugas seorang doktor dengan membuat pemeriksaan terhadap pesakit ketika ketiadaan doktor tidak dipersetujui.
“Ia tidak sama dengan hospital kerajaan. Di hospital kerajaan pembantu perubatan dibolehkan untuk membuat pemeriksaan terhadap pesakit, bagaimanapun ia tidak terpakai terhadap sektor swasta. Akta perkhidmatan di sektor kerajaan dan swasta tidak sama,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Dr Abdul Malik didakwa mengambil kerja Appalanaidu (telah meninggal dunia) sebagai pengamal perubatan yang tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia di No 43, tingkat bawah Lebuh Kota Permai di sini pada jam 12 tengah hari, 6 Mei 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (c) Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbaan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit manakala tertuduh diwakili peguam S.Anne.
Tertuduh membayar denda berkenaan. – BERNAMA