SINIS… Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengkritik kerajaan apabila seolah-olah tidak mahu tunai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri untuk hapus kutipan tol di semua lebuh raya.
Menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook beliau hari ini, bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu menyindir kepimpinan PH sebelum menjadi kerajaan yang sering ‘memekik’ untuk kononnya menghapuskan tol.
“Putar belit setiap hari padahal dia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) beri konsesi berat sebelah. Tapi Kerajaan BN (Barisan Nasional) dan saya pula dipersalah, walhal hampir setiap tahun saya umum hapus tol di beberapa kawasan.
“Bukan main memekik (calon PH) Puchong di Selangor dan Simpang Renggam di Johor sampai buat video serta poster dengan berjuta-juta (netizen) tanda ‘like’ dan tonton. Hari ini apa cerita?” tanya Najib dalam nada sinis.
Kenyataan beliau itu merujuk kempen Gobind Singh Deo dan Dr. Maszlee Malik yang kini masing-masing Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Pendidikan kemudian ‘senyap’ jika ulas isu mengenai pemansuhan tol lebuh raya.
Baca: Lebuh Raya Tanpa Tol Tidak Mungkin Diwujudkan
Mengulas dengan lebih lanjut, Najib mendakwa, apa yang berlaku kini disebabkan janji PH sebenarnya tidak ikhlas untuk bantu rakyat jelata dan dilakukan semata-mata kerana tamak kuasa bagi guling pentadbiran BN terdahulu.
Bernama hari ini melaporkan, Mahathir ketika diwawancara agensi berita rasmi itu pada Perhimpunan Pemimpin ASEAN di Bali, Indonesia berkata, pembinaan lebuh raya tanpa ada kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.
Malah Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol sebagai mana terkandung dalam manifesto blok politik tersebut pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Menjelaskan lebih lanjut, Mahathir dengan angkuh bertanya siapakah yang akan selenggara atau bina jalan baharu sekiranya kerajaan PH memansuhkan konsesi kutipan tol lebuh raya di seluruh negara. – Agensi/Mynewshub.TV
*Video ini sekadar renungan…