RIYADH – Arab Saudi semalam berdepan pandangan tidak percaya berhubung penjelasan tentang bagaimana wartawan, Jamal Khashoggi mati di konsulatnya di Istanbul ketika kuasa-kuasa dunia menuntut jawapan sebenar dan lokasi mayat mangsa dibuang.
Setelah 14 hari berdolak-dalik, Riyadh mengaku kelmarin bahawa kolumnis akhbar Washington Post itu dibunuh selepas memasuki konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu dalam insiden kehilangan yang mencetuskan kemarahan dan menjerumuskan Riyadh ke dalam krisis antarabangsa.
Pegawai-pegawai Turki sebelum ini menuduh Riyadh melakukan pembunuhan ditaja kerajaan dan mengerat mayat mangsa dengan media Turki melaporkan tentang kewujudan bukti video dan audio bagi menyokong dakwaan tersebut.
Polis Turki turut menggeledah sebuah hutan dekat Istanbul, lokasi di mana jenazah Jamal dipercayai dibuang.
Selepas berkata bahawa Jamal meninggalkan konsulat di Istanbul dengan selamat dan mereka sedang menyiasat kehilangannya, pihak berkuasa Arab Saudi menukar pengakuan kelmarin dan mengiyakan bahawa Jamal, 60, mati dalam satu ‘pergaduhan’ dengan pegawai-pegawainya di dalam konsulat.
Namun, kisah tersebut dan ditambah dengan misteri kehilangan mayat Jamal, mengundang pandangan sinis banyak pihak termasuk sekutu-sekutu rapat Arab Saudi sendiri.
Ankara pula berjanji akan mendedahkan butiran siasatannya, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan Arab Saudi berhubung kematian Jamal sementara Kesatuan Eropah (EU), Jerman, Perancis, Britain, Australia, Kanada dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta penjelasan sebenar.
Kehilangan Jamal bertukar menjadi krisis yang menghantui Putera Mahkota, Mohammed bin Salman dengan imej beliau sebagai pelopor transformasi pemodenan Arab Saudi kini tercemar.
“Tindakan Arab Saudi menukar-nukar cerita tentang pembunuhan Jamal sudah lapuk. Kisah terbaharu mengenai tumbuk-menumbuk di dalam bangunan konsulat itu menjadi tidak terkawal nyata pelik,” kata Senator daripada Parti Republikan, Marco Rubio.
Menurut pengakuan terbaharu Riyadh itu, ejen-ejen Arab Saudi membalut mayat Jamal dengan sehelai permaidani, membawanya keluar menggunakan sebuah kenderaan konsulat dan menyerahkan mayat mangsa kepada konco tempatan untuk dibuang.
Salah seorang ejen berkenaan kemudian memakai pakaian, kaca mata dan jam tangan Jamal sebelum keluar dari pintu belakang konsulat supaya mangsa seolah-olah kelihatan meninggalkan bangunan tersebut.
Pada Khamis lalu, beberapa pegawai memberitahu agensi berita Reuters di Turki bahawa jenazah mangsa mungkin telah dibuang ke Hutan Belgrad dan sebuah lokasi pedalaman dekat bandar Yalova, 90 kilometer ke selatan Istanbul.
Dalam perkembangan berkaitan, media Arab Saudi melaporkan bahawa Raja Salman telah mengarahkan pemecatan lima pegawai termasuk Saud Al-Qahtani yang merupakan orang kanan Putera Mohammed dan timbalan ketua perisikan negara itu, Ahmed Asiri.
Ditanya semasa lawatan ke Nevada sama ada beliau berpuas hati dengan pemecatan lima pegawai itu berhubung kematian Jamal, Trump berkata: “Tidak, saya tidak berpuas hati sehinggalah kami mendapat jawapan, namun pemecatan itu adalah langkah pertama yang besar dan baik. Bagaimanapun, saya masih mahukan jawapan”. AFP/REUTERS/KOSMO ONLINE