BERSIH… Boracay, destinasi pelancongan terkenal Filipina, akan dibuka semula untuk jalani beberapa ujian terhad selepas ditutup hampir enam bulan untuk operasi pembersihan.
Lapor agensi berita rasmi China Xinhua memetik kenyataan para pegawai pelancongan Filipina. Pantai itu ditutup pada 26 April lalu atas arahan Presiden Rodrigo Duterte untuk kerja-kerja pembersihannya dilakukan.
Pemimpin negara tersebut menyifatkan pulau peranginan ini sebagai “tempat kumbahan” kerana banyak najis yang tidak dirawat dibuang bebas ke perairannya tanpa kawalan sehingga menjejaskan imej Filipina sendiri.
Setiausaha Pelancongan Filipina, Bernadette Romulo-Puyat, semalam berkata bahawa pulau popular itu akan mengadakan majlis prapelancaran pada 26 Oktober dan ia merupakan fasa pertama daripada tiga fasa.
Baca: Pantai Penuh Najis, Duterte Arah Tutup Boracay 6 Bulan
“Fasa 2 pada April tahun depan manakala Fasa 3 ialah pada bulan Disember 2019,” kata wanita tersebut sambil menambah bahawa proses ‘pemulihan penuh’ pulau itu akan selesai sepenuhnya pada akhir tahun depan.
Puyat, bersama Setiausaha Alam Sekitar Filipina, Roy Cimatu dan Setiausaha Kerja Raya, Mark Villar mengakui bahawa semasa majlis pembukaan semula itu, masih ada kerja pembinaan dan baiki jalan yang akan dapat dilihat.
Beliau bagaimanapun menambah pegawai yang bertanggungjawab bagi Kerajaan Tempatan, Eduardo Ano mengesahkan sejumlah 68 hotel dengan lebih 3,000 bilik boleh didapati semasa upacara pembukaan semula itu.
Premis yang tidak mematuhi peraturan akan terus ditutup sehingga semua syarat, termasuk fasiliti pembetungan, dipatuhi. Pembaikan sistem itu menelan belanja lebih 1 bilion peso (RM75 juta), kata Puyat. – BERNAMA