KUALA LUMPUR – Bahang final Piala Malaysia antara Perak dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini kian terasa apabila 10,000 keping tiket dalam talian untuk golongan dewasa, habis dijual tidak sampai setengah jam.
Ketua Pegawai Eksekutif Tickethotline International Sdn Bhd, Datuk Zairil Ayu Ibrahim berkata jualan tiket dalam talian berkenaan yang mengehadkan pembelian empat keping tiket setiap seorang, mendapat sambutan hangat sehingga laman sesawang jualan;www.tickethotline.com.my mengalami kesesakan luar biasa.
“Saya akui jualan tiket pada tahun ini agak cepat dengan 10,000 keping tiket dewasa habis dijual dalam tempoh setengah jam, namun ibu bapa yang berminat masih boleh mendapatkan tiket untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang masih dijual dalam laman sesawang kami,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi entri dalam laman Facebooknya memaklumkan orang ramai yang membuat pembelian dalam talian boleh menebus tiket masing-masing di Kaunter A, Stadium Shah Alam bermula esok dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang (rehat untuk solat Jumaat dari pukul 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang).
Kaunter berkenaan akan turut dibuka untuk penebusan tiket pada hari perlawanan dari pukul 10 pagi sehingga 7 malam.
Perak mara ke final Piala Malaysia setelah mencatat kemenangan agregat 7-2 ke atas Sabah manakala TFC melakar kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada satu lagi aksi separuh akhir. – BERNAMA