KOTA PALU (Sulawesi) – Suasana malam di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar itu, Jumaat lepas.
Tinjauan Bernama mendapati ada antara kawasan yang terjejas masih tidak dapat bekalan elektrik dan air bersih yang sempurna, terutama di kawasan perkampungan yang berada di hujung bandar iaitu di Kampung Balarua, timur Kota Palu.
Kampung Balarua menjadi antara lokasi paling teruk menerima kesan bencana itu, dengan kawasan asalnya yang landai bertukar menjadi bukit yang beralun dipenuhi mangsa yang terperangkap di bawah batu- bata.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah kini meningkat kepada 1,407 orang setakat 1 tengah hari, semalam.
Penduduk tempatan, Mohd Nadir Kamaruddin, 33, berkata waktu malam bagaikan mimpi ngeri untuk mereka kerana suasananya sangat gelap.
“Kami sudah enam malam tidak mempunyai bekalan elektrik…apa yang kami boleh lakukan hanyalah membakar kayu dari sisa runtuhan rumah di sekeliling kami,” katanya kepada Bernama.
Bagi Ruhimah Enton, 27, air bersih merupakan keperluan asas yang paling penting bagi kampung itu.
“Saya tidak kisah sekiranya tiada talian telefon, kami cuma mahu bekalan air bersih yang secukupnya sahaja,” katanya sambil berharap usaha membawa bekalan air bersih ke tempat itu boleh dilaksanakan secepat mungkin. – BERNAMA