WASHINGTON – Di sebalik kejayaan mengurangkan kemiskinan tegar, Bank Dunia menyatakan bahawa hampir separuh penduduk dunia masih lagi menyara hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$5.50 (RM22.85) sehari.
Dalam laporan dwitahunannya, Bank Dunia meneliti isu kemiskinan secara lebih menyeluruh untuk mencari kelemahan negara-negara dalam menangani isu tersebut.
Perincian itu dilakukan di sebalik angka penduduk miskin tegar yang meraih pendapatan harian kurang daripada AS$1.90, terus berkurangan sejak beberapa tahun lalu.
Menggunakan definisi kemiskinan yang lebih meluas, Bank Dunia mendapati dalam laporannya bahawa bilangan penduduk miskin di seluruh dunia ‘masih lagi tinggi’ dan tidak boleh diterima, malahan, imbuhan pertumbuhan ekonomi yang dikecapi juga tidak diagihkan secara sama rata di serata ceruk rantau dan negara.
Walaupun pertumbuhan ekonomi dunia agak lembab sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan penduduk miskin di antara tahun 2013 hingga 2015 telah berkurangan lebih 68 juta orang, bersamaan populasi Thailand ataupun United Kingdom.
Di sebalik pengurangan yang dicatatkan itu, laporan sama menyebut bahawa trend semasa membayangkan bahawa matlamat Bank Dunia untuk mengurangkan angka kemiskinan tegar kepada kurang tiga peratus penduduk dunia menjelang tahun 2030 mungkin tidak akan tercapai.
Berpandukan pendapatan harian AS$5.50 sebagai garis kemiskinan, kata Bank Dunia, kemiskinan global jatuh kepada 46 peratus berbanding 67 peratus dalam tempoh masa antara tahun 1990 hingga 2015.
Menurut bank berkenaan lagi, 60 peratus populasi global tinggal di negara-negara berpendapatan rendah dua dekad lalu tetapi menjelang 2015, angka itu susut kepada sembilan peratus.
Setakat Mei 2018, dunia mempunyai populasi kira-kira 7.6 bilion orang. – AFP/KOSMO ONLINE