KUALA LUMPUR – Nama penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac disenarai pendek sebagai calon Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
Hans, 47, bagaimanapun berkata, dia tidak dapat mengesahkan spekulasi tersebut kerana masih menunggu keputusan daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Ya, betul saya ada menghadiri beberapa sesi temuduga sebulan yang lalu. Memang ada beberapa individu termasuk saya disenarai pendek tapi saya belum tahu keputusannya.
“Setahu saya, setakat pagi ini, surat lantikan ahli lembaga sudah dikeluarkan. Tapi untuk jawatan pengerusi, kena tunggu pengumuman daripada pihak kementerian,” katanya.
Hans ditemui ketika majlis sidang akhbar pengumuman finalis program realiti, Dewi Remaja 2018/2019 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hans berkata, seandainya dia diberi peluang untuk mengemudi Finas, dia akan melaksana 15 dasar bagi merombak struktur industri perfileman negara yang disifatkan carca marba.
“Saya akan mewujudkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi penggiat industri. Saya sudah lama menyuarakan perkara tersebut.
“Saya juga akan pastikan tiada ketirisan dan menjanjikan kesamarataan kepada semua penggiat industri perfileman negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE