KUALA LUMPUR – Kedudukan skuad bola sepak negara atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya naik dua anak tangga dari nombor 171 ke nombor 169 dalam ranking terkini Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini.
Menurut kenyataan terkini persekutuan antarabangsa itu dalam laman sesawangnya, www.fifa.com, Harimau Malaya mengumpul 974 mata untuk berada dalam kelompok negara seperti Fiji (167), St.Lucia (168), Kemboja (170) dan Moldova (171).
Kemenangan 4-1 dengan Sri Lanka dan kekalahan tipis 0-1 kepada Kyrgyztan, pasukan ranking 91 dunia (kini 90) membantu pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia mengikut bulan.
Ini kali pertama skuad Harimau Malaya memperbaiki kedudukannya sejak peningkatan lapan anak tangga dari 178 ke 170 pada April tahun ini.
Bagaimanapun, Malaysia masih ketinggalan jauh dari negara Asia Tenggara, yang mana Vietnam di kedudukan ke-102, diikuti Filipina (116), Thailand (121), Myanmar (141), Indonesia (160) dan Singapura (165).
Iran meneruskan penguasaan di rantau Asia selepas naik tiga anak tangga ke tangga ke-30, diikuti Australia (42), Jepun (50) dan Korea Selatan (53) sementara Sri Lanka berada di kedudukan ke-201 dalam kalangan 211 negara yang termasuk dalam ranking FIFA.
Belgium mengekalkan kedudukannya sebagai pasukan nombor satu dunia dengan 1,733 mata selepas Juara Piala Dunia 2018, Perancis yang berkongsi kedudukan teratas bersama Belgium bulan lepas, turun ke tangga kedua dengan perbezaan satu mata. – BERNAMA