KUALA LUMPUR – Di sebalik dugaan yang sedang dilaluinya, Haziq Hussni bersyukur Allah menghadirkan kegembiraan apabila memenangi trofi Penyampai Radio Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 lalu.
Haziq yang hadir ditemani ibunya, Merfazon Jan, berkata jiwanya tidak keruan pada malam itu memikirkan anak keduanya, Chayra Auliya yang dilahirkan pada 30 Ogos lalu sedang menerima rawatan di hospital kerana menghidap batuk kokol.
“Ketika menghadiri ABPBH 31, kepala saya dipenuhi pelbagai perkara, terutama memikirkan anak kedua yang masih dirawat di hospital. Namun, rezeki tidak pernah salah alamat. Ketika berdepan ujian, Allah selitkan kegembiraan dengan kemenangan ini.
“Sudah lebih seminggu Chayra menerima rawatan, Alhamdulillah keadaannya semakin bertambah baik. Batuknya masih belum hilang dan difahamkan mengambil sedikit masa untuk pulih. Tetapi, saya bersyukur Chayra sudah mula aktif,” katanya.
Dia yang turut berharap semua pihak mendoakan kesihatan anak keduanya, mendedikasikan kejayaan sulungnya itu kepada ibunya yang menjadi tulang belakang kekuatan selama empat tahun berkhidmat dengan Hot FM.
“Dalam setiap apa yang saya lakukan, saya sentiasa meminta restu ibu. Ia sudah menjadi prinsip kerana saya percaya, restu ibu akan mempermudahkan setiap urusan kita.
“Seronok rasanya apabila ibu ada bersama ketika saya menerima anugerah itu. Kemenangan ini juga saya raih berkat doanya selama ini,” katanya.
Haziq mendirikan rumah tangga dengan Ayunda Putri Mekarsari pada Julai 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata termasuk Muhammad Heidy Nufael yang kini berusia setahun tujuh bulan. – BH ONLINE