LONDON – Satu pasangan suami isteri membuat rayuan kepada hakim supaya memenjarakan anak mereka yang baru berusia 14 tahun selepas tidak tahan dengan remaja itu berulang kali ditahan polis kerana pelbagai jenayah dalam tempoh 18 bulan.
Menurut laporan Mirror, Hakim Mahkamah Remaja Grimsby, Lincolnshire, yang menerima rayuan ibu bapa malang itu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap remaja itu, Rabu lalu.
Hakim Daerah, Daniel Curtis memerintahkan hukuman penjara itu sebagai sebahagian daripada perintah pengawasan selama setahun.
“Saya risau kamu menjadi seorang pemuda yang berpotensi terjebak dalam jenayah sebagai kerjaya pada masa depan. Kamu tidak boleh terus seperti ini,” katanya.
Ibu bapa remaja itu menulis surat kepada hakim selepas tidak tahan dengan anak mereka yang terjebak dengan pelbagai jenayah berkaitan dadah.
Bapanya memberitahu Sunday Mirror, dia tidak lagi dapat mengawal anaknya.
“Dia sukar dikawal dan kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tiada pilihan,” katanya.
Ibu bapanya menulis kepada hakim supaya memberi hukuman yang dapat menyedarkan anaknya.
“Kami percaya dia memerlukan hukuman penjagaan untuk menyedarkannya. Dia perlu sedar ada akibat tindakannya.
“Jangan kecewakan anak kami, tolong bertindak sekarang. Biarkan dia berada di landasan betul dan melalui pengalaman itu,” kata surat itu.
Mereka cuba mengawalnya dengan memasang kunci kembar pada pintu, namun remaja itu memanjat dan memecahkan tingkap untuk melarikan diri.
Sejak 18 bulan lalu, remaja itu merompak dan mencuri bagi mengisi ketagihan ganja dan tiada perubahan walaupun berulang kali ditahan polis. – Agensi/myMetro Online