KUANTAN – Ibu kepada anggota bomba yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Mohd Fatah Hashim sempat menunaikan solat hajat sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu oleh menantunya.
Sharifah Adzam Syed Mohamad, 68, berkata beliau amat terkejut sebaik diberitahu tentang kejadian itu oleh menantunya, Nor Nadia Kamaludin pada 10.30 malam.
“Menantu telefon bagi tau umi, Fatah keluar operasi cari orang lemas, tapi dia hilang dengan lima orang lagi rakan setugasnya, macam mana ni umi?
“Saya ada menyuruhnya bertenang dan sempat solat hajat supaya anak saya dan rakannya selamat, namun tidak lama selepas itu, menantu telefon bagi tahu Allahyarham ditemui lemas bersama lima rakannya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Baharu Beserah, di sini hari ini.
Menurutnya kali terakhir beliau berjumpa dengan anaknya itu ialah sebelum Hari Raya Aidiladha yang lalu kerana Mohd Fatah terpaksa bertugas semasa hari raya.
Anaknya ada menelefonnya kali terakhir selepas hari raya berkenaan bagi bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih kerana mengirimkan nasi berlauk kepadanya.
“Disebabkan dia tidak dapat balik beraya makcik kirimkan nasi berlauk kepadanya menerusi isterinya yang pulang beraya.
“Selepas itulah dia telefon cakap umi, minta ampun minta maaf umi ya berkali-kali, biasanya dia cakap sekali sahaja,” katanya.
Sementara itu bapa kepada Allahyarham Mohd Fatah, Hashim Abas, 69, berkata walaupun terkejut dengan tragedi yang menimpa anak kelimanya daripada tujuh beradik itu, namun beliau reda.
“Ibu bapa mana yang tidak terkejut, anak yang selama ini sihat tiba-tiba tiada (meninggal dunia). Beliau anak yang baik dan selalu mengambil berat tentang keluarga.
“Allahyarham satu-satunya anak saya yang bekerja dengan badan beruniform dan memang dia minat dengan bomba sejak kecil, walaupun tanggungjawab yang dipikulnya berat, namun beliau sedikitpun tidak pernah mengeluh tentang kerjanya,” katanya.
Menurutnya Allahyarham telah berkhidmat selama 13 tahun dengan JBPM dengan tempat tugas pertama di Sri Kembangan, Serdang, sebelum ditukarkan ke Pelabuhan Klang empat tahun lalu.
“Saya berharap kerajaan dapat mengenang jasa dan menghargai pengorbanan yang dilakukan Allahyarham dan rakan-rakannya yang terkorban dalam kejadian ini.
“Mereka meninggalkan isteri dan anak-anak masih kecil demi berkhidmat untuk negara,” katanya yang merupakan bekas pesara kerajaan yang bertugas dengan Kementerian Pertahanan.
Selain Allahyarham, lima lagi anggota bomba yang turut terkorban dalam kejadian itu, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam tadi, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.
Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan mangsa lemas. – BERNAMA