JAKARTA – Kerajaan Indonesia memberi jaminan akan mempermudahkan permohonan visa sementara bagi pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurutnya, jaminan itu diberikan sendiri oleh Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla ketika kunjungan hormatnya ke atas pemimpin Indonesia itu sempena lawatan kerja seharinya ke Indonesia hari ini.
“Isu permohonan visa sementara antaranya sistem tidak selaras dengan ada ejen yang menawarkan harga berbeza (kepada pelajar) dan Naib Presiden Indonesia mengambil maklum isu ini dan berjanji akan mempermudahkan (urusan tersebut),” katanya pada sidang media, di sini malam ini.
Dr Wan Azizah berkata ketika ini terdapat lebih 4,000 pelajar Malaysia di Indonesia dengan kebanyakan mereka menuntut dalam bidang perubatan.
Mengenai pertemuannya dengan Presiden Joko Widodo, Dr Wan Azizah berkata pemimpin itu membangkitkan isu pendidikan bagi anak-anak pekerja Indonesia di Malaysia yang tidak berdaftar.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan Indonesia meminta agar kanak-kanak terbabit diberikan peluang mendapatkan pendidikan sekurang-kurangnya pada peringkat sekolah rendah.
“Kita akan lihat isu ini termasuk dari segi kurikulum supaya mereka mendapat pendidikan awal dan balik ke Indonesia untuk mendapatkan pendidikan menengah,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata pertemuan dua hala dengan kedua-dua pemimpin Indonesia itu turut menyentuh mengenai bantuan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, termasuk dari segi kewangan, logistik dan barangan keperluan.
Katanya Dr Mahathir dijangka mengumumkan bantuan dana bagi program rehabilitasi dalam bidang pendidikan bagi mangsa bencana tersebut.
Menurut Dr Wan Azizah, setakat ini Malaysia menyumbang dana berjumlah RM1 juta kepada Indonesia, manakala Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi (TBGBTS) yang dilancarkan 4 Oktober lepas berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM75,000.
“Kerajaan Malaysia berharap sumbangan dihulurkan dapat membantu rakyat Indonesia yang terkesan. Kita juga menawarkan bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), tetapi kita masih menunggu jika bantuan tersebut diperlukan kerajaan Indonesia,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata beliau dan Jokowi turut bertukar-tukar pandangan mengenai usaha membanteras gerakan ekstrimisme melalui pertukaran maklumat antara pihak berkuasa kedua-dua negara. – BERNAMA