JOHOR BAHRU – Sikap berintegriti yang diamalkan dalam kalangan kakitangan Pos Malaysia perlu dikekalkan bagi memastikan organisasi perkhidmatan pos negara, yang menjadi pilihan utama masyarakat, terus bertahan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah berkata hal ini kerana integriti adalah antara perkara yang dinilai masyarakat kini.
“Buat apa sahaja pekerjaan kena ada integriti, maknanya integriti itu adalah tanggungjawab dan kita bangga dengan kerja kita. Tidak bermakna kerja mengasingkan surat-surat di dalam bilik sahaja, mereka rasa pekerjaan itu tidak penting, itu tidak betul.
“Kerja mereka sama penting dengan kerja saya juga, cuma lain peranan. Bila ada integriti, kita akan bangga dengan kerja kita dan buat yang terbaik. Jika rakyat nampak aspek integriti itu, rakyat akan merasa selesa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pos Sedunia peringkat negeri di sini, hari ini.
Pos Malaysia juga perlulah menaik taraf perkhidmatan pelanggan yang baik kepada masyarakat bagi memastikan setiap permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan mudah.
“Kadang-kadang pelanggan buat aduan ada barang lambat sampai dan ada barang hilang, kita kena faham mungkin ia amat berharga dan penting kepada mereka.
“Justeru itu, naik taraf itu penting ditambah pula perkhidmatan mereka yang kini cenderung digunakan oleh perniagaan dalam talian, saya mengharapkan Pos Malaysia terus maju.” katanya. – BERNAMA