SUNGAI PETANI – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah merampas 388 botol minuman beralkohol pelbagai jenama dalam pemeriksaan terhadap tiga premis berasingan di sekitar bandar Sungai Petani hari ini.
Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pemeriksaan bermula 10 pagi hingga 2 petang itu melibatkan anggota dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda dan dibantu PKD Yan dan PKD Bandar Baharu.
“Pemeriksaan tersebut diadakan sesuai dengan Pindaan Peraturan Berkaitan Minuman Beralkohol yang dikuatkuasakan 16 Okt lalu. Kita menjalankan pemeriksaan terhadap lima premis dan berjaya merampas 388 botol minuman beralkohol dari tiga premis melibatkan nilai rampasan RM6,218.
“Selain itu, tujuh notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan semasa operasi dijalankan melibatkan satu kesalahan tidak menyatakan senarai ramuan, tiga kesalahan tiada penyataan āMeminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatanā dan tiga kesalahan bagi isipadu minima 700ml,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Operasi Penguatkuasaan Pindaan Peraturan Berkaitan Minuman Beralkohol di sini hari ini.
Dr Norhizan berkata sepanjang operasi tersebut pihaknya mendapati kesalahan banyak dilakukan peniaga yang menjual minuman beralkohol ini adalah tidak meletak label sepatutnya di bahagian botol minuman seperti diperuntukkan.
Sementara itu, beliau berkata pemeriksaan itu sebagai langkah untuk memastikan tahap kesihatan dan keselamatan pengguna dilindungi selain memastikan penjualan minuman beralkohol dilarang kepada mereka berumur bawah 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.
“Kita akan sentiasa pantau kerana alkohol ini banyak jenis. Sehingga kini, tiada kes keracunan metanol dalam minuman beralkohol dilaporkan di Kedah kerana ada yang menggunakan metanol untuk kuatkan alkohol tersebut tetapi ia boleh membahayakan tubuh badan orang meminumnya,” kata beliau. – BERNAMA