GUA MUSANG – Berpuluh kenderaan terkandas kerana tidak dapat melalui jambatan sementara Kampung Pulau Setelu di sini yang ditenggelami air Sungai Nenggiri hari ini.
Jambatan yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli itu sering ditenggelami air setiap kali berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai berkenaan, kini masih ditutup kepada semua kenderaan sejak pukul 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt. Mohd. Taufik Maidin berkata musim tengkujuh yang sudah bermula sekarang kemungkinan lebih kerap jambatan itu ditenggelami air.
Penduduk dan pengguna jalan itu perlu lebih berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung penggunaan jambatan tersebut, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Taufik berkata pasukan keselamatan termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkawal di situ untuk menjaga keselamatan orang ramai.
“Kita harap pengguna jangan cuba melalui jambatan itu ketika air sungai belum surut kerana boleh mendatangkan bahaya,” katanya.
Seorang pengguna, Salleh Ab Kadir, 54, berkata beliau tidak dapat meneruskan perjalanan ke Jeli berikutan jambatan masih ditenggelami air.
“Jika hujan lebat di hulu sungai sudah berhenti, kebiasaannya air sungai akan surut dalam tempoh empat hingga enam jam, selepas itu bolehlah kita menerus semula perjalanan ke Jeli,” katanya yang kerap menggunakan laluan tersebut.
Jambatan sementara itu yang dibina rendah dengan permukaan sungai menggantikan jambatan asal yang roboh dilanda banjir besar pada 2014 lalu manakala jambatan baharu masih dalam pembinaan.- BERNAMA