SHAH ALAM – Exco kerajaan Selangor Datuk Teng Chang Khim hari ini meminta semua pihak supaya tidak mensensasikan isu membabitkan penganjuran pesta arak di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan berkata sebelum ini kerajaan Selangor tidak pernah menghalang penganjuran acara yang memenuhi peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuklah membabitkan acara pengambilan arak.
“Pesta ini sebenarnya adalah ‘Octoberfest’ bukan pesta arak… kita tidak sepatutnya mensensasikan satu program perniagaan yang dianjurkan peniaga dengan menukar nama program tersebut sesuka hati.
“Segala kegiatan perniagaan boleh membuat permohonan kepada PBT dan kelulusan acara tersebut pula tertakluk kepada syarat yang ditetapkan PBT dan itu pendirian kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau turut membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan Datuk Abdul Rashid Asari yang menyifatkan acara itu tidak mempunyai nilai moral.
Teng berkata Abdul Rashid sebagai Exco sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu berikutan negara ini terdiri daripada masyarakat pelbagai budaya dan kaum.
“Saya kira Datuk Abdul Rashid adalah Exco yang baharu… belum sampai lima bulan (menjadi Exco), jadi beliau tidak mengetahui dasar dan pendirian kerajaan mengenai isu ini.
“Adalah tidak wajar beliau membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak benarkan ‘Octoberfest’ dan ia kenyataan yang salah, pendirian beliau bahawa ‘Octoberfest’ ini adalah program yang tidak bermoral adalah pendapat peribadinya, ” tegas Teng.
Baru-baru ini, Abdul Rashid berkata kerajaan negeri tidak bercadang membenarkan mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak atau ‘Octoberfest’ di negeri ini.
Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri tidak akan menyokong apa-apa kegiatan atau program yang tidak mempunyai nilai moral termasuklah penganjuran pesta arak.
Abdul Rashid turut menjelaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan melibatkan penganjuran pesta arak di Selangor.
Sementara itu, mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka, Teng yang juga naib pengerusi DAP Selangor berkata tidak ada larangan kepada pemimpin parti itu untuk menerima sebarang pengurniaan darjah, bintang atau pingat kebesaran.
Beliau berkata DAP perlu mewujudkan peraturan atau dasar baharu yang lebih jelas berhubung perkara tersebut bagi menjaga kebaikan semua pihak di dalam parti terssbut.
“Tidak ada larangan (terima darjah kebesaran), belum ada dasar parti menjurus ke arah itu… mungkin ada sedikit salah faham dan setahu saya DAP tidak melarang pemimpin terima darjah kebesaran.
“Sebab itu kena ada dasar bertulis berhubung isu ini yang akan dijadikan panduan kepada semua pemimpin DAP pada masa depan,” katanya.
Semalam, Lim menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran kerana dikhuatiri akan menimbulkan persepsi lain kepada rakyat susulan parti itu baharu tahun pertama berada dalam kerajaan persekutuan. – BERNAMA