PORT DICKSON – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin jentera kerajaan akan dapat dipulihkan sedikit masa lagi, malah akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya selepas dirosakkan kerajaan terdahulu.
Beliau menegaskan kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya jentera yang dimiliki tidak dipulihkan dengan segera.
“Setelah kita menang barulah kita tahu betapa buruknya pentadbiran (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak)…bukan sahaja duit dicuri tetapi semua pegawai (kerajaan) telah dialih fikiran mereka dalam membantu penyangak ini. Mereka pun ada juga jadi penyangak. Bila kita ambil alih, masalah kita ialah untuk memulihkan semula jentera kerajaan.
“Kerajaan tidak boleh bergerak melainkan jentera yang dulu kuat berkhidmat kepada negara (sekarang). Tetapi apabila kita dapati ramai daripada mereka jentera ini dirosakkan oleh Datuk Seri Najib, maka kita terpaksa tukar mereka dan kita ganti dengan orang baharu,” katanya dalam ucapan pada majlis ceramah mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di PD Waterfront di sini, malam ini.
Turut hadir, Presiden PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan pemimpin kanan PH yang lain.
Dr Mahathir seterusnya berkata kerajaan pada masa ini terpaksa dimulakan semula dan disusun kembali supaya dapat melaksanakan segala dasar dan tindakan demi kebaikan rakyat.
“Itu masalah jentera kerajaan…pemulihan amat sukar dilakukan, tetapi Alhamdulillah yang tidak terlibat dengan rasuah sekarang ini dalam jangka pendek dapat memahami cara pentadbiran (kerajaan baharu) dan saya yakin tidak lama lagi jentera ini akan dapat dipulihkan sepert sedia kala, mungkin lebih daripada itu,” katanya.
Perdana menteri berkata penjawat awam pada hari ini juga memahami bahawa tiada tempat bagi pesalah rasuah dalam kerajaan dan mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas.
“…dengan itu, kerajaan kita akan bebas daripada korupsi yang menjadi beban kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata banyak telah dilakukan kerajaan termasuk hutang negara yang berjaya dikurangkan walaupun masih dalam jumlah trilion ringgit.
“Kita sudah bersihkan kerajaan dan dalam politik pula, kita tidak dengar begitu banyak masalah yang ditimbulkan oleh rakyat kerana tidak berpuas hati dengan kita…soal agama, soal bangsa, warna semua dah diketepikan, dan saya yakin dengan kehadiran malam ini, semua kaum di Malaysia.
“Politik perkauman tidak ada tempat di Malaysia yang berbilang kaum. Ini tidak bermakna kita ketepikan masalah kaum-kaum dan kita sedar kaum India umpamanya agak ketinggalan dan kita akan tolong mereka.
“Kita juga sedar orang Melayu masih tidak capai ekonomi terbaik, mungkin kerana mereka tidak begitu berminat merebut peluang yang besar sebaliknya mencari jalan mudah,” katanya.
Dr Mahathir berkata kerajaan juga berusaha mengurangkan jurang antara golongan miskin dan kaya, yang disifatkannya jika tidak ditangani akan mencetuskan malapetaka.
“Sebab itu, kita sedang usahakan jurang yang miskin dengan kaya sama ada di bandar dan luar bandar. Ini sedang diusahakan oleh kita agar pihak yang berkata kononnya kerajaan Pakatan Harapan membelakangkan orang Melayu, itu tidak benar,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir yang tiba pada 10.08 malam disambut Anwar, yang baru-baru ini, menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR dan sorakan daripada ribuan hadirin yang mula membanjiri kawasan ceramah berkenaan sejak 6 petang tadi.
Kehadiran Dr Mahathir pada ceramah itu menyaksikan gandingan semula beliau dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun. – BERNAMA