JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri mewujudkan Dana Bencana Khas dengan peruntukan RM20 juta bagi menyalurkan bantuan kewangan dalam menghadapi bencana alam di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata dana berkenaan akan digunakan sebagai langkah kontingensi (alternatif) sekiranya peruntukan kewangan dari pelbagai jabatan mengambil masa atau tidak mencukupi.
“Bajet khas ini untuk hadapi malapetaka seperti banjir sebab kita tidak tahu kalau terjadinya tanah runtuh, dan jambatan runtuh. Hendak tunggu peruntukan dari jabatan, kadang-kadang lambat dan tidak mencukupi, jadi, boleh guna dana ini sebagai amanah untuk dibelanjakan,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Karnival Jom Heboh, di sini hari ini.
Osman berkata selain dana berkenaan, pelaksanaan sistem kumbahan berpusat akan dilakukan oleh syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Perbadanan Darul Takzim (PDT) bagi mengelakkan kekotoran sungai yang boleh menyumbang kepada bencana alam.
“Kita menitik beratkan beberapa sungai seperti Sungai Segget, Sungai Pandan dan Sungai Skudai di bandar raya ini yang kotor sebab tiada sistem kumbahan berpusat seperti yang dilakukan oleh Indah Water Konsortium (IWK), jadi najis disalur terus ke sungai,” katanya. – BERNAMA