SEPANG – Kegiatan ‘ulat teksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di sini semakin membimbangkan apabila turut membabitkan tonto bagi menutup jenayah itu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati tonto berkenaan bertindak sebagai pemantau bagi ‘ulat teksi’ daripada dikesan JPJ dan menyimpan gambar pegawai JPJ yang bertugas di kedua-dua lapangan terbang itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai tonto petang tadi di klia2, selepas didapati mengekori seorang pegawai JPJ.
“Lelaki berusia 39 tahun itu mengekori pegawai JPJ yang sedang bertugas tanpa menyedari bahawa ada pegawai kami yang mengekorinya.
“Hasil maklumat risikan, kita berjaya menahan lelaki ini dan dia akan didakwa di mahkamah esok di bawah Seksyen 243 (1) Akta Pengangkutan Awam 2010.
“Ini adalah kes pertama yang kita kesan membabitkan tonto dalam kegiatan ‘ulat teksi’ dan kita tidak tolak kemungkinan ada lagi yang terbabit melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti Ops Khas Ulat 2.0 di klia2 di sini, malam ini.
Shaharuddin berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu didapati pernah ditangkap sebanyak tiga kali sebelum ini, sejak dua tahun lalu.
Selain itu, beliau berkata, JPJ turut mendapati ada warga asing yang menjadi ‘ulat teksi’ selepas berjaya menahan seorang warganegara Libya yang melakukan kegiatan itu di KLIA pada 5 September lalu.
“Dia dihukum penjara selama lapan hari dan sudah pun diusir keluar dari negara ini,” katanya.
Shaharuddin berkata, kegiatan ‘ulat teksi’ itu juga semakin berleluasa apabila dilakukan tanpa mengira waktu, berbanding hanya pada waktu tertentu yang tidak ramai penumpang tiba sebelum ini.
“Mereka mengenakan tambang kepada mangsa terutama warganegara asing antara RM80 hingga RM150 dari KLIA ke Kuala Lumpur, berbanding RM50 ke RM80 dengan teksi biasa, malah ada yang mengenakan tambang sehingga AS$100 (RM414),” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 29 dan 30 September lalu, JPJ menahan 15 ‘ulat teksi’, dan dua ‘ulat teksi’ dalam operasi hari ini.
Katanya, sepanjang tahun ini, seramai 63 ‘ulat tiket’ turut ditahan dalam operasi yang dijalankan di KLIA dan klia2.
“Kita akan berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mencari kaedah sesuai bagi memastikan pelancong asing yang tiba di negara ini tidak menjadi mangsa ‘ulat teksi’ ini, contohnya seperti meletakkan papan tanda di mana untuk mendapatkan pengangkutan awam yang sah,” katanya. – BH Online