PANAMA CITY – Jumlah kematian akibat Taufan Michael meningkat kepada 17 orang semalam, tiga hari selepas ia melanda Florida susulan kerja-kerja menyelamat di lokasi yang sebelum ini sukar dimasuki.
Taufan itu yang diletakkan dalam Kategori 4 Rabu lalu mendatangkan kematian di empat negeri tetapi Florida adalah lokasi paling teruk terjejas setakat ini.
Sebahagian besar negeri itu dibadai angin kencang dan hujan lebat, dengan 8 kematian dilaporkan .
“Pantai Mexico berada dalam keadaan buruk,” kata Gabenor Rick Scott, merujuk kepada taufan terburuk pernah melanda Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa dekad.
“Ia seperti zon perang,” katanya sambil melawat pekan dihuni 1,000 penduduk di Teluk Mexico itu.
Pasukan penyelamat dengan menggunakan khidmat anjing pengesan kini sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Media Amerika melaporkan satu kematian di pekan itu, membabitkan seorang lelaki warga emas yang mayatnya dijumpai beberapa ratus meter dari kediamannya.
Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan (FEMA), Brock Long memberi amaran jumlah kematian berkemungkinan akan terus meningkat.
“Saya harap ia tidak meningkat secara dramatik tetapi saya mempunyai alasan tersendiri untuk percaya bahawa kita masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas,” katanya. – AFP/BH ONLINE