KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memerlukan dana sebanyak RM6 juta sebagai persiapan pasukan Kelantan menghadapi saingan Piala Malaysia musim depan kata Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan.
Katanya walaupun Kelantan pada musim depan beraksi pada saingan Liga Premier, pihaknya mahu menyediakan pasukan yang terbaik mengharungi saingan tersebut.
“Kami juga harus mencari pemain yang dapat membantu menaikkan kembali pasukan ke saingan Liga Super musim berikutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bibi Ramjani berkata setakat ini pihaknya telah berunding dengan beberapa syarikat untuk membantu menaja pasukan Kelantan musim depan.
“Beberapa syarikat menunjukan minat membantu kami, namun ia masih di peringkat awal perbincangan, saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat syarikat itu bagi mengelakkan kekeliruan dan isu lain,” katanya.
Beliau berkata KAFA berterima kasih kepada penaja musim ini yang masih mahu membantu pihaknya bagi meningkatkan prestasi bola sepak negeri ini musim depan. – BERNAMA