PASIR PUTEH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas kira-kira 700 juta batang rokok seludup terutama yang diseludup menerusi jalan laut dalam tempoh Januari hingga September tahun ini di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata pihaknya menjangka jumlah rampasan itu akan terus bertambah sehingga melebihi satu billion batang rokok sebelum akhir tahun ini.
“Dalam tempoh itu, Kelantan mencatatkan antara negeri tertinggi rampasan rokok seludup iaitu sebanyak 25,906,734 batang rokok dan Terengganu 18,090,486 batang rokok,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Tekad Bersepadu Kastam Kelantan dan Terengganu di sini, hari ini.
Pada majlis itu JKDM Kelantan memeterai perjanjian persefahaman dengan Majlis Daerah Pasir Mas manakala JKDM Terengganu dengan Majlis Daerah Besut bagi kerjasama membanteras kegiatan penyeludupan termasuk rokok.
JKDM Kelantan diwakili Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Yusoff manakala Majlis Daerah Pasir Mas oleh Yang Dipertuanya Mohd Anis Hussein dan JKDM Terengganu diwakili Pengarahnya Datuk Radzi Muhamad manakala Majlis Daerah Besut oleh Yang Dipertuanya Ab Rashid Jusoh.
Mengenai Ops Tekad Bersepadu itu yang diadakan selama empat hari bermula hari ini, Zulkifli berkata pihaknya dengan kerjasama kedua-dua majlis daerah berkenaan telah mengenal pasti sebanyak 675 premis yang disyaki terbabit sama ada menjual atau menyimpan rokok tanpa cukai.
Beliau berkata antara premis berkenaan terdapat di Pulau Perhentian, Besut yang disyaki menjadi pembekal rokok tersebut menggunakan bot nelayan sebagai perantara.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata penyeludupan rokok tanpa cukai menerusi jalan laut dijangka terus meningkat berikutan kenaikan cukai baharu terhadap produk itu.
Beliau berkata Jajahan Pasir Mas berisiko tinggi berlakunya kegiatan penyeludupan kerana lokasinya terletak di sempadan Kelantan-Thailand. – BERNAMA