PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap akan mendapat peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan 2019 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini, bagi membaiki dan menyelenggara jalan raya di seluruh negara, kata Menterinya Baru Bian.
Beliau berkata peruntukan itu diperlukan untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diteruskan termasuk kerja membaik pulih jalan raya yang berada dalam kategori tidak baik.
“Setakat ini, sebanyak 30 peratus jalan Persekutuan di seluruh negara berada dalam kategori ‘daif dan teruk’. Jumlah sebanyak RM2 bilion diminta KKR ini adalah jumlah yang mencukupi untuk kos membaiki dan menyelenggara jalan raya di seluruh negara.
“Saya harap KKR akan menerima jumlah berkenaan….apa pun kita tunggu pengumuman dalam Belanjawan 2019, berapa jumlah peruntukan yang akan diterima nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Jalan Malaysia Ke-10 dan Seminar Persatuan Antarabangsa Tetap Kongres Jalan Sedunia (PIARC) 2018 mengenai Pengurusan Aset di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Roslan Md Taha dan Presiden PIARC Claude Van Rooten.
Dalam wawancara bersama Sinar Harian dan Malaysiakini bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membayangkan bahawa Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Jumaat ini berbentuk belanjawan yang berhemah.
“Belanjawan mesti cermat, kita tak boleh belanja lebih daripada pendapatan kita, kita tahu untuk diri kita pun kalau kita belanja lebih, kita terikat dengan hutang dan sebagainya… jadi kita tak bolehlah nak layan sebahagian macam-macam permintaan,” kata Dr Mahathir.
Berhubung isu penghapusan tol, Baru berkata KKR akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat berhubung isu itu.
“Kita tunggu keputusan yang dicapai selepas mesyuarat itu. KKR sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol ini,” katanya.
Ditanya mengenai projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Baru berkata ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan, keputusan anggota kabinet serta agensi kerajaan yang terbabit sebelum keputusan muktamad diumumkan kelak.
“KKR perlu melihat keadaan kewangan negara, sekiranya keadaan kewangan berada dalam keadaan baik maka kita akan mengutamakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat. Kita tunggu pengumuman Belanjawan 2019 pada Jumaat ini,” katanya. – BERNAMA