KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menjelaskan kenaikan yuran yang dilaksanakan baru-baru ini adalah yuran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sebaliknya bukan yuran pengajian.
UM dalam kenyataan di sini memberitahu, kali terakhir yuran ICT dinaikkan oleh universiti itu adalah pada sesi kemasukan 2011/2012.
Jelas kenyataan itu lagi, kenaikan yang dilaksanakan adalah berjumlah RM100 setahun (RM50 semester atau RM8.30 sebulan) bagi pelajar tempatan dan RM600 setahun bagi pelajar antarabangsa (kenaikan sebanyak RM300 setahun).
“Kenaikan yuran ini jauh lebih murah berbanding kadar komersial dan kadar yuran yang dikenakan masih dikira sebagai kadar yuran subsidi.
“Pada masa kini, perkhidmatan ICT di UM merangkumi khidmat internet bertalian dan tanpa talian (Wi-Fi), aplikasi-aplikasi yang dibangunkan seperti portal pendaftaran melalui talian, langganan perisian-perisian kritikal seperti Microsoft365, akses kepada sumber pengajaran dan pembelajaran atas talian serta penyelenggaraan perkakasan seperti pelayan dan peranti keselamatan maya,” kata UM. –UTUSAN ONLINE