KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengutuk kenyataan penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang berbaur perkauman terhadap serban yang dipakai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh.
Beliau menegur, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan akan mendatangkan kecaman hebat di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Kenyataan yang menyerang Amar dan juga masyarakat Sikh itu tidak wajar dikeluarkan oleh Raja Petra. Ia melemahkan nilai asas sebagai rakyat Malaysia iaitu saling menghormati antara satu sama lain.
“Kita tidak boleh membenarkan serangan sedemikian terhadap mana-mana kaum tanpa kita disedari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan Raja Petra itu adalah contoh mengapa negara perlu meneruskan pelaksanaan undang-undang yang boleh menapis ucapan berbaur kebencian.
“Undang-undang ini akan turut menumpukan keberkesanan dan kecekapan untuk memudahkan pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan sedemikian dari luar negara,” katanya.
Jumaat lalu, Amar mencabar Raja Petra untuk menunjukkan bukti kepada dakwaan yang dibuat penulis blog itu berhubung polis mencuri RM43.3 juta ketika menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata Raja Petra harus berani tampil membuat laporan polis di Malaysia jika memiliki bukti kukuh mengenai dakwaan polis mencuri wang yang didakwa milik UMNO.
Bagaimanapun, Raja Petra membalas dengan membuat kenyataan menghina yang merujuk kepada pemakaian turban Amar di dalam artikel baharu yang dimuat naik di laman webnya. – BH ONLINE