SEREMBAN – Kerajaan negeri akan memberi peruntukan sebanyak RM33,000 kepada seorang warga emas yang rumahnya terbakar tengah hari tadi di Kampung Ismail, Ampangan dekat sini.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata peruntukan itu bagi membantu Alimah Abu Bakar, 93, untuk membina semula rumahnya yang musnah dalam kebakaran itu.
“Kita akan tunggu dahulu laporan forensik sebelum luluskan pembinaan rumah ini sebab kita tidak mahu ganggu siasatan yang sedang dijalankan. Lepas semuanya sudah selesai, kita akan siapkan secepat mungkin dengan rumah berkonsepkan mesra rakyat.
“Kita juga akan memohon bantuan dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dari segi pendawaian tetapi peruntukan pembinaan rumah sepenuhnya dari kerajaan negeri sendiri,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian petang tadi.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Mokhtar Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.13 petang mengenai kebakaran sebuah rumah limas yang berusia 61 tahun itu.
“Sebanyak tiga jentera dan enam anggota bomba terlibat dalam operasi ini yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000 manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – BERNAMA