PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang dan proses sewajarnya oleh Singapura yang melaksanakan hukuman mati ke atas rakyat Malaysia, Prabu N. Pathmanathan, yang menjalani hukuman gantung di penjara Changi pada subuh hari ini bagi kesalahan menyeludup dadah.
Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan hukuman itu dijalankan pada 6.23 pagi Jumaat dengan kehadiran wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan anggota keluarga Prabu.
“Suruhanjaya Tinggi berhubung dengan anggota keluarga mendiang Prabu berkaitan urusan mayatnya,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata atas dasar kemanusiaan, kerajaan Malaysia mengemukakan rayuan kepada kerajaan Singapura supaya hukuman diringankan.
Prabu, 31, dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan menyeludup 227.82g dadah diamorphine atau heroin ke negara pulau ini pada 31 Dis, 2014.
Pelaksanaan hukuman itu dibuat selepas Pejabat Presiden Singapura menolak petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga Prabu pada Khamis malam.
Terdahulu, laporan Bernama memetik peguam keluarga itu, N. Surendran yang berkata keluarga mendiang telahpun menuntut mayatnya dan upacara pembakaran mayat akan diadakan hari ini. – BERNAMA