JOHOR BAHRU – Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha feri enam tahun lepas.
Mohd Nazari Mohamed, 48, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Kamarudin Kamsun.
Dalam pertuduhan pertama, Mohd Nazari yang ketika itu bertugas di Pejabat Imigresen Tanjung Belungkor, Kota Tinggi dekat sini, didakwa meminta suapan sebanyak RM70,000 melalui satu panggilan telefon kepada syarikat pengangkutan feri Panti Bistari Travel & Tour Sdn. Bhd antara 12.50 tengah hari dan 1 tengah hari pada 28 Jan 2012.
Wang suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengganggu perniagaan syarikat terbabit dan melancarkan kemasukan penumpang-penumpang feri yang diuruskan dari Batam, Indonesia ke Tanjung Belungkor.
Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa menerima suapan sebanyak RM23,000 daripada pemilik feri terbabit di alamat nombor 30, Jalan SS8/10, Taman Sri Saujana, Kota Tinggi antara pukul 10.20 malam dan 10.30 malam pada 31 Januari 2012, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan yang sama ke atas perniagaan feri terbabit.
Bagi pertuduhan kedua itu, Mohd Nazari didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman yang sama jika sabit dengan kesalahan.
Hakim kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Dis ini sebagai sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Norsyarina Raizan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hazwan Hamidun. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..