Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Dira Abu Zahar Akhirnya...

SETELAH sekian lama berteka-teki tentang status rumah tangganya, pelakon Dira Abu Zahar akhirnya...

Sultan Selangor Berkenan Lantik...

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan...

Azmin Diminta Bertenang, Jangan...

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihati supaya...

Sultan Johor Sedia Serah...

JOHOR BAHRU - Sultan Johor sedia menyerahkan tanah milik Baginda di Bukit Chagar...

Kes Saman Raja Kamarul Bahrin Terhadap Penerbit Portal Selesai

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah difailkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad terhadap penerbit sebuah portal atas dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya di portal MyNewsHub, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Kes itu selesai selepas pengarah MyNewsNet, Arshad Khan, yang mewakili MyNewsNet Sdn. Bhd selaku defendan dalam kes saman berkenaan membacakan permohonan maaf secara terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye dengan dihadiri peguamnya Ahmad Hazrin Abdul Rahman.

Bagaimanapun, Raja Kamarul Bahrin, selaku plaintif yang diwakili peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi tidak hadir pada prosiding hari ini.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk seorang saksi plaintif iaitu pensyarah dalam bidang Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Rosmadi Mokhtar, menyambung keterangannya selepas Raja Kamarul Bahrin selesai memberi keterangan semalam.

Arshad ketika membacakan permohonan maaf itu berkata: “Defendan mengambil peluang ini tanpa sebarang syarat untuk menarik balik perkataan dan tuduhan dalam artikel diterbitkan dalam www.mynewshub.cc bertajuk ‘Wakil Rakyat PAN Cuti Mewah Di UK Abai Mangsa Bah’ bertarikh Januari 2017 dan dengan sepenuh hati memohon maaf kepada Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bagi penderitaan dan rasa malu ditanggungnya akibat daripada penerbitan perkataan dan tuduhan itu yang adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas”.

Beliau berkata defendan tidak berniat untuk menyinggung Raja Kamarul Bahrin dalam artikel itu dan memohon maaf kepadanya sekiranya ia telah menguris perasaan dan mencemarkan maruahnya.

“Kami menyesal, dan kami tidak pernah berniat untuk mencemarkan imej beliau di mata masyarakat. Sehubungan itu, defendan akan mengambil langkah perlu untuk tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan portal www.mynewshub.cc,” katanya.

Mahkamah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak terlibat.

Terdahulu, Nadzratun memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak-pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu dan wakil daripada MyNewsNet akan membaca permohonan maaf secara terbuka di mahkamah.


Dalam saman difailkan pada Januari 2017, Raja Kamarul Bahrin, mendakwa MyNewsNet telah menerbitkan artikel berkenaan berserta fotonya di MyNewsHub pada 7 Januari 2017 yang mengandungi kata-kata berunsur fitnah terhadap plaintif.

Bekas Anggota Parlimen Kuala Terengganu itu mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau tidak mempedulikan serta tidak prihatin dengan kesusahan rakyat khususnya di kawasan Parlimennya kerana sanggup bercuti di kota London dalam keadaan rakyat menderita kesusahan akibat banjir.

Dakwanya, disebabkan kata-kata fitnah itu, reputasinya selaku anggota Parlimen ketika itu terjejas dan dipandang hina oleh masyarakat.

MyNewsNet dalam penyataan pembelaan difailkan pada 13 Mac 2017, mendakwa defendan bukan pemilik dan penerbit portal MyNewsHub seperti didakwa oleh plaintif selain mendakwa plaintif gagal untuk mengenal pasti pihak sebenarnya yang telah menulis, mengarang, membenarkan dan menerbitkan berita di portal tersebut.

Nadzratun ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata antara terma persetujuan penyelesaian kes, defendan akan menerbitkan permohonan maaf itu dalam portal MyNewsHub, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Peguam itu berkata defendan juga perlu membayar ganti rugi dan kos kepada Raja Kamarul Bahrin, namun jumlah yang patut dibayar tidak dapat didedahkan kepada media. – BERNAMA

Kategori