KOTA BHARU – Kesedaran tentang rawatan awal apabila seseorang diserang strok masih rendah dalam kalangan masyarakat Kelantan dan perlu diberi perhatian serius.
Pakar Persatuan Neurologi, Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Dr Sanihah Abdul Halim berkata individu yang dikesan mempunyai simptom awal strok seperti perubahan pada anggota badan termasuk muka, tangan dan pertuturan boleh boleh dirawat jika mendapatkan rawatan kurang daripada empat jam setengah selepas seseorang diserang strok.
“Sebanyak 30 peratus potensi untuk pulih jika individu mendapatkan rawatan dalam tempoh berkenaan berbanding lewat mendapat rawatan,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Strok Sedunia 2018 Negeri Kelantan di HUSM disini hari ini.
Sambutan Hari Strok Sedunia 2018 yang disambut pada 29 Oktober pada setiap tahun itu turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan Profesor Dr Dinsuhaimi Sidek, dan Pakar Perubatan Neurologi Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Dr Rose Izura Abdul Hamid.
Dr Sanihah berkata kebanyakan masyarakat di negeri ini lebih memilih untuk mendapatkan rawatan tradisional terlebih dahulu dan hanya merujuk ke hospital selepas tiada perubahan atau keadaan semakin teruk.
Beliau berkata terdapat dua jenis strok iaitu strok salur darah tersumbat dan strok salur darah pecah yang boleh dirawat melalui rawatan ‘Trombolisis’ dan ‘Endovascular’ yang akan dilakukan oleh pakar radiologi.
“Apabila tindakan lambat diambil boleh membawa perbezaan ketara dari segi pemulihan strok,” katanya.
Katanya terdapat empat hospital di Kelantan yang mempunyai mesin imbasan Computed Tomography Scan (CT Scan) iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), HUSM Kubang Kerian, Hospital Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah untuk mengetahui jenis strok yang dihidapi.
Sementara itu, Pakar Perubatan Neurologi Jabatan Perubatan HRPZII Dr Rose Izura Abdul Hamid berkata secara purata terdapat tiga hingga lima rakyat negeri ini mendapat serangan strok setiap hari dan bilangan itu kian meningkat.
“Purata tahunan pula untuk beberapa tahun kebelakangan ini adalah seramai 300 hingga 500 orang dan kita bimbang kerana semakin ramai pesakit dari golongan muda seawal 20-an,” katanya. – BERNAMA