SINDIR… Jika satu, dua atau tiga lagi Ahli Parlimen UMNO konon didakwa mahu keluar parti untuk masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), cerita itu mungkin spekulasi yang dianggap ‘logik’.
Namun apabila sudah cecah 40 orang daripada baki 49 Ahli Parlimen UMNO dikatakan hendak khianat parti, boleh percaya ke dakwaan pelik sebegitu apatah lagi sertai parti serpihan kurang ahli untuk buat mesyuarat cawangan?
Khabar aneh ini dibawa Penasihat Media Pejabat Perdana Menteri, Datuk Kadir Jasin yang juga ahli Majlis Tertinggi PPBM itu sehingga jadi jenaka seumpama kisah 40 penyamun dalam filem komedi lama Ali Baba Bujang Lapuk.
Beliau yang juga bekas wartawan terkenal dari Kumpulan The New Straits Times Press memberitahu demikian kepada wartawan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan PPBM Bahagian Tebrau, di Johor Bharu pada Sabtu.
Menurutnya, kesemua berpotensi kerana sudah beberapa kali jumpa Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyididn Yassin serta kepimpinan parti itu sama ada berseorangan atau berkumpulan.
“Buat masa ini, belum ada sesiapa yang hampir sampai peringkat Datuk Mustapa (Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed) walaupun mereka telah berjumpa dengan Mahathir, Muhyiddin dan pemimpin tertinggi PPBM.
“Mereka menggambarkan terbuka untuk keluar UMNO dan masuk PPBM tetapi masalahnya mereka juga terpaksa memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu kerana ada mempunyai isu atau terdedah kepada siasatan,” katanya.
Ditanya pemberita adakah tujuan mereka menyertai PPBM disebabkan untuk selamatkan diri dihukum penjara atas kesalahan lama, Kadir berkata, tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat pihak berkuasa setelah menyertai PPBM.
“Hal itu payah hendak cakap… tetapi mana mungkin PPBM atau kerajaan melindungi pesalah. Kalau ada bukti kes, saya rasa mungkin terlintas di fikiran tetapi tidak boleh dikata itu syaratnya… tiada pun jaminan,” dalih Kadir.
Sementara itu Ahli Parlimen UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin sendiri hairan dari sumber mana Kadir dapat angka tersebut kerana kebetulan, jika dicampur, PPBM bakal jadi parti terbesar komponen dalam Pakatan Harapan.
Langkah berkenaan sekali gus mampu sekat hasrat tinggi Presden PKR yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan kerana PPBM boleh sabotaj pelan peralihan kuasa secara senyap.
Ketika ditemui wartawan di Kuala Lumpur kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, beliau tidak sedar adanya kemungkinan sehingga 40 orang Ahli Parlimen UMNO akan lompat parti apatah lagi dalam masa terdekat.
“Setahu saya tidak ada pula. Saya tidak tahu dari mana datang angka 40 orang itu,” katanya dalam nada sinis sambil menambah, “mungkin saya tidak terlibat dan tidak pun dijemput oleh PPBM.” – Agensi/Mynewshub.TV