SEPANG – Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini mengadakan latihan pesawat terhempas bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis.
Latihan itu membabitkan senario sebuah pesawat dari Dubai membawa 226 penumpang dan enam anak kapal yang dijadualkan mendarat di KLIA pada waktu malam telah melanggar dron sejurus sebelum mendarat.
Pesawat itu kemudian terpaksa mendarat di landasan dua KLIA. Malangnya semasa terpaksa melakukan pendaratan kecemasan itu ia telah terhempas dan terbakar.
Wakil media diundang untuk menyaksikan operasi kecemasan dan menyelamat oleh pelbagai agensi termasuk kakitangan MAHB, pasukan perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sidang media olok-olok turut diadakan oleh MAHB setiap 30 minit bagi memberikan maklumat terkini berhubung insiden itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataan berhubung latihan itu berkata berikutan jumlah penumpang meningkat setiap tahun, mengadakan latihan menyeluruh menerusi senario pesawat terhempas di lapangan terbang itu adalah langkah tepat.
Setakat bulan lepas, KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mencatatkan 44.7 juta penumpang iaitu meningkat 3.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, katanya. – BERNAMA