JAKARTA – Jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah kini meningkat kepada 1,407 orang setakat 1.00 tengah hari ini.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat berikutan pasukan mencari dan menyelamat mula memasuki lebih banyak kawasan yang teruk terkesan akibat bencana itu.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata setakat ini sebanyak 2,549 mangsa cedera sedang dirawat di rumah sakit dan khemah perubatan sementara.
Berdasarkan pendataan setakat hari ini, lebih 65,000 rumah dan bangunan rosak dan musnah akibat bencana itu, katanya.
Gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter menggegarkan Kota Palu dan Donggala yang turut mengakibatkan tsunami pada Jumaat lepas, yang turut disusuli lebih 250 gempa susulan setakat ini. – BERNAMA