PETALING JAYA – Juara dua kali, Korea Selatan menjadi pasukan terakhir menempah tiket ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru tahun depan, setelah mengatasi India 1-0 pada saingan suku akhir Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, malam ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Korea Selatan mengiringi juara dua kali Jepun, Tajikistan dan Australia ke Piala Dunia B-17 2019.
Berdasarkan format kejohanan, empat pasukan yang mara ke separuh akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018, layak ke Piala Dunia B-17 2019.
Pada aksi malam ini, skuad muda Pahlawan Taeguk nyata bergelut untuk menembusi pintu gol India walaupun menguasai babak awal permainan menerusi beberapa percubaan berbahaya dan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga berakhir separuh masa pertama perlawanan.
Sebaik perlawanan bersambung, Korea Selatan terus menggandakan asakan untuk memburu gol pembukaan dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-67 menerusi jaringan pemain gantian, Jeong Sang Bin.
Gol itu berpunca daripada percubaan pemain Korea Selatan dalam kotak penalti yang ditampan lemah penjaga gol India, Niraj Kumar sebelum Sang Bin menyambar bola tersebut, sekali gus menceriakan sebilangan kecil penyokong mereka yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan berkenaan.
Korea Selatan bakal membuat perhitungan dengan Tajikistan pada aksi separuh akhir di venue sama, Khamis ini. – BERNAMA