BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang telah melupuskan pelbagai barangan berjenama tiruan serta cakera padat (CD) melibatkan 175 kes bernilai RM1.26 juta bermula Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Abd Ghapar berkata, jumlah kes tersebut adalah berdasarkan kes rampasan barangan perlanggaran ke atas harta intelek mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987.
“Kesemua barangan itu dilupuskan setelah KPDNHEP Pulau Pinang mendapat kebenaran mahkamah untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, pelupusan pada hari ini pula adalah melibatkan barangan pelupusan bernilai RM168,898.70 yang terdiri daripada pakaian, aksesori wanita, CD cetak rompak, kasut serta alat permainan kanak-kanak yang kesemuanya adalah barangan tiruan.
“Pelupusan kali ini adalah merupakan Siri ke-8 melibatkan sebanyak 27 kes,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ridzuan turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang aktiviti penipuan ‘gores dan menang’ menggunakan alat peranti tablet yang kini giat dijalankan di kawasan tumpuan orang ramai.
“Modus operandinya ialah dengan mengajak mangsa secara rawak di pusat membeli belah dengan mengatakan mangsa merupakan pemenang bagi cabutan bertuah jika menekan butang klik pada alat peranti tablet yang sebenarnya adalah satu bentuk penipuan,” katanya yang menambah KPDNHEP Pulau Pinang kini giat melakukan siasatan dan pemantauan sindiket tersebut.
“Kami telah menerima aduan tersebut antara dua ke tiga bulan lepas dan berharap lebih ramai lagi mangsa tampil untuk membuat aduan kerana kita hendak banteras kegiatan ini dari terus berleluasa,” katanya. – BERNAMA