KUALA LUMPUR – Kutipan sisa makanan dari pintu ke pintu akan dijalankan bagi menangani masalah sistem perparitan dan kumbahan yang sering tersumbat di sekitar Kuala Lumpur, kata Urus Setia Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) Abdul Ghani Mohamed.
Abdul Ghani yang juga Pengurus Kanan Indah Water Konsortium (IWK) berkata, inisiatif itu akan dimulakan dalam masa terdekat bermula di Jalan Alor, Bukit Bintang sebelum dilaksanakan di kawasan sekitar Kuala Lumpur nanti.
“Inisiatif kutipan sisa makanan dari pintu ke pintu melibatkan kawasan perumahan dan gerai-gerai makanan di kawasan Jalan Alor ini adalah salah satu projek LA21 KL, dan ini adalah ujian perintis sebelum kita buat di kawasan sekitar Kuala Lumpur pula.
“Kita lakukannya bagi menangani masalah sistem perparitan yang tersumbat kerana sikap orang yang sering membuang sisa makanan ke dalam parit, dan kita sasar untuk menjadikan Bukit Bintang ini bersih seperti di Orchard Road, Singapura,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
LA21 KL adalah gabungan kerjasama 300 entiti terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli komuniti untuk menjaga kebersihan alam sekitar, yang mana pelbagai aktiviti dilakukan bagi tujuan berkenaan antaranya gotong-royong secara beramai-ramai.
Pada 27 Okt lepas, Bernama melaporkan LA21 KL turut terlibat untuk program ‘Jom Bersih Bukit Bintang 15’ yang mana program itu berjaya menarik lebih 1,000 peserta untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar. – BERNAMA