KUANTAN – Seorang bakal pengantin tampil membuat laporan polis kerana mendakwa turut menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pengendali makanan terkenal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa itu, wanita berusia 24 tahun dari Maran, dekat sini mendakwa ditipu sebanyak RM10,800 yang dikatakan untuk tempahan katering bagi majlis yang akan berlangsung pada 3 Nov depan.
Mohd Wazir berkata, mangsa bagaimanapun merasa ditipu apabila membaca kenyataan beberapa mangsa syarikat yang pernah menggunakan pasangan selebriti sebagai duta, yang viral di media sosial pada 4 Okt lalu.
Mangsa juga mendakwa cubaannya untuk menghubungi beberapa pekerja syarikat itu tidak berjaya, menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran semalam. – BERNAMA