JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan rokok dengan merampas 1,606 kotak rokok jenama U2 bernilai kira-kira RM8 juta yang disembunyikan di dalam stor sebuah bangunan di Mersing, Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata ia menjadikan nilai rampasan berkaitan kegiatan penyeludupan rokok sejak seminggu lepas kini berjumlah RM17 juta, termasuk RM3 juta nilai kenderaan yang disita.
Beliau berkata serbuan pada 13 Okt dilancarkan susulan terbongkarnya sindiket penyeludupan kontraband berpusat di daerah Mersing pada hari Rabu minggu lepas yang menyaksikan 23 suspek ditahan, dan rokok serta kenderaan bernilai RM9 juta dirampas.
Katanya serbuan pada kira-kira pukul 6 petang Sabtu lepas itu adalah hasil risikan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari bahagian Perisikan Dan Siasatan Khas (PGK) Bukit Aman, namun tiada suspek ditahan.
“Kita juga menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) terhadap ketua dan dalang jenayah penyeludupan. Kes juga akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu Mohd Khalil berkata polis Johor komited dalam membanteras semua aktiviti penyeludupan khususnya melibatkan rokok serta minuman keras, dan pihaknya juga sudah mengenalpasti empat lokasi di Johor yang dilihat menjadi tumpuan penyeludupan kedua-dua barang itu. – BERNAMA