KOTA KINABALU – Suruhanjaya Tenaga menasihatkan semua pemilik premis yang guna pepasangan voltan tinggi agar melantik orang kompeten untuk menjaga pepasangan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Pengarah Wilayah Suruhanjaya Tenaga (Pantai Barat Sabah), Mohd Yusrul Yusof berkata melantik individu yang tidak kompeten untuk menjaga pepasangan voltan tinggi di premis seperti kilang, hotel, pusat beli-belah dan seupamanya adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.
“Memang kita ada keluarkan notis (kepada premis-premis yang menggunakan pepasangan voltan tinggi) agar mengambil tindakan… kita tekankan supaya premis-premis tersebut ada orang kompeten voltan tinggi (yang jaga),” katanya kepada Bernama.
Mohd Yusrul berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Touch Point 2018’ dan Seminar Keselamatan Elektrik anjuran agensi itu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut hari ini. Seminar berkenaan dihadiri kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada orang kompeten dan pelatih IKBN.
Pepasangan voltan tinggi merujuk kepada pepasangan yang menggunakan 1kV dan ke atas.
Menurut Mohd Yusrul, selain boleh mengundang kemalangan seperti letupan serta kecederaan di premis, kegagalan pematuhan melantik orang kompeten untuk menjaga pemasangan voltan tinggi juga boleh diambil tindakan undang-undang.
“Jika berlaku kemalangan (di premis akibat ketidakpatuhan kepada peraturan Suruhanjaya Tenaga), kita boleh mengambil tindakan undang-undang yang membawa hukuman denda dan penjara, bergantung kepada punca kemalangan itu mengikut Akta Suruhanjaya Tenaga,”katanya.
Sementara itu, Mohd Yusrul menganggarkan 45-50 peratus premis yang menggunakan pepasangan voltan tinggi di Sabah sudah mematuhi peraturan melantik orang kompeten sebagai penjaga pepasangan berkenaan manakala selebihnya dalam proses melantik orang kompeten.
Katanya antara rungutan yang diterima suruhanjaya daripada pemilik premis berkenaan ialah kos menghantar pekerja untuk kursus sijil kompeten adalah tinggi serta kekuatiran mereka akan kehilangan pekerja kompeten itu kerana berpindah tempat kerja.
Beliau berkata rungutan pemilik premis mengenai kos tinggi berkenaan mungkin sudah tidak relevan lagi kerana Suruhanjaya Tenaga telah memberi tauliah kepada IKBN untuk menjalankan bengkel Modul Senggaraan Dan Kendalian Pencawang untuk mendapatkan sijil kompeten berkenaan.
“Pentauliahan IKBN ini baru sahaja dibuat. Sebelum ini, antara kekangan majikan atau pemilik premis ialah kos tinggi untuk menghantar (pekerja) mengikuti latihan di Semenanjung. Jadi sekarang, latihan boleh diikuti di Sabah sahaja,” katanya. – BERNAMA