KUALA LUMPUR – AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) menyumbangkan RM100,000 kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hasil kutipan melalui acara larian ‘AXA Hearts in Action’ (Larian AXA) yang diadakan semalam di Putrajaya.
Lima NGO tersebut ialah WWF-Malaysia, World Vision Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Jantung Malaysia.
Larian AXA, dalam edisi keempatnya, turut memperkenalkan kategori baharu dipanggil ‘Larian Maya’ untuk para pelari yang berminat untuk menyertai tetapi tidak dapat menghadiri larian sebenar.
Kategori itu membenarkan pelari untuk berlari sendiri di mana-mana lokasi antara 24 Sept dan 7 Okt tahun ini.
Larian AXA diadakan setiap tahun untuk menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup yang aktif disamping berlari untuk satu tujuan yang baik.
Ketua Pegawai Eksekutif AAGI, Emmanuel Nivet berkata Larian AXA merupakan inisiatif tahunan melibatkan orang awam yang menyasarkan perubahan positif kepada punca sosial utama.
“Ia adalah satu kuasa yang digerakkan rakyat Malaysia yang ingin membuat perbezaan dan kejayaannya bergantung kepada sokongan daripada masyarakat.
“Kami tersentuh melihat rakyat Malaysia dalam kemeja-T berwarna-warni datang menyertai kami dalam usaha ini dan menyokong usaha amal yang baik,” katanya.
Acara Larian AXA menarik lebih 5,000 pelari yang menunjukkan sokongan untuk tujuan sosial terpilih. – BERNAMA