BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 148 bungkus cecair mitragynine (air ketum) dalam serbuan di sebuah kedai di tepi laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan berkata bertindak hasil maklumat, polis membuat pemeriksaan terhadap lelaki berusia 25 tahun itu dan menemukan satu beg plastik hitam yang mengandungi 28 bungkusan air ketum.
“Dalam pemeriksaan jam1.05 tengah hari itu, polis turut membuat pemeriksaan lanjut di dalam kedai itu dan menemui 120 bungkus air ketum yang di simpan dalam satu tong plastik,” katanya di sini, malam ini.
Katanya, berdasarkan siasatan, lelaki yang tidak bekerja itu menjual air ketum berkenaan di sekitar Teluk Kumbar dengan harga RM5 sebungkus sejak beberapa bulan lepas.
Beliau berkata lelaki itu kini direman untuk siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.- BERNAMA