LONDON – Sekeping lukisan yang dihasilkan oleh artis seni misteri Britain dikenali sebagai Banksy koyak dengan sendiri ketika dijual pada harga lebih £1 juta (5.4 juta) dalam satu acara lelongan di London pada Jumaat lalu.
Mereka yang hadir pada acara lelongan itu terkejut dan ketawa selepas bahagian bawah lukisan berjudul Girl with Balloon itu carik-carik akibat disedut mesin penghancur kertas yang tersembunyi di dalam bingkainya ketika lelongan dilakukan, kata firma lelongan Sotheby’s.
Girl with Balloon merupakan antara karya terbaik Banksy. Karya berusia 12 tahun itu baru sahaja dijual pada harga £1,042,000 (RM5.7 juta) yang merupakan rekod tertinggi untuk pelukis misteri tersebut.
“Kita nampaknya sudah terkena,” kata Alex Branczik yang merupakan pengarah kanan dan ketua seni kontemporari dalam satu kenyataan di laman web Sotheby’s.
Banksy sendiri memuat naik gambar tetamu terkejut melihat lukisan itu musnah di laman sosial Instagram berserta kapsyen: ‘Lagi, lagi, hilang’.
Menurut Sotheby’s, pihaknya pasti ini merupakan kali pertama karya seni musnah dengan sendiri semasa acara lelongan.
Firma lelongan itu bagaimanapun belum memberikan ulasan mengenai di mana lukisan koyak itu kini disimpan atau bagaimana nilainya berubah selepas kejadian di luar jangkaan tersebut.
Banksy yang identitinya masih belum diketahui, terkenal kerana menghasilkan grafiti bertemakan politik termasuk pada tembok Israel di Tebing Barat dan taman hiburan Disneyland.
Bermula sebagai seorang artis seni grafiti kurang dikenali dari bandar Bristol, karya Banksy kini sangat dihargai dan mahal harganya. – Reuters/KOSMO ONLINE