PETALING JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi program Skuad Jejak Kemiskinan menjejaki 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bagi mengenal pasti keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf.
Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Mohd Nur Fadhli Yohman berkata, operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf.
“Program ini dilihat sangat berkesan kerana dapat mendekati golongan yang layak menerima bantuan tetapi tidak disantuni LZS, atas beberapa faktor, seperti mereka tidak mengetahui proses permohonan zakat,” katanya ketika ditemui di program Skuad Jejak Kemiskinan di sini, baru-baru ini.
Jelasnya, lawatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat seperti jumlah pendapatan, tanggungan dan penyakit kronik yang dihidapi keluarga.
Hasil bancian yang dilakukan di PPR Lembah Subang melayakkan 75 isi rumah didaftarkan sebagai fakir dan miskin.
“Cabaran utama yang dihadapi ialah meyakinkan orang awam yang berpendapat mereka tidak layak untuk memohon zakat serta berasa malu untuk berurusan dengan LZS,” tambah Nur Fadhli.
Buat ibu tunggal kepada empat orang anak, Atikah Aini Mohd Yamin, 43, kunjungan LZS ke rumahnya dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi sejak kematian suaminya empat tahun lalu.
Beliau yang hanya bekerja separuh masa sebagai tukang cuci dengan pendapatan sebanyak RM700 sebulan, berasa sangat bersyukur dan gembira apabila dimaklumkan sebagai bakal salah seorang penerima bantuan zakat di bawah kategori asnaf miskin.
Antara bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ialah bantuan kewangan, bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan anak, bantuan untuk rawatan sakit kronik, makanan, serta bantuan Ramadan dan Hari Raya. –BERNAMA