Thursday, October 24, 2024

Creating liberating content

Felda United Ranapkan Impian...

KUALA LUMPUR - Felda United meranapkan impian Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merangkul...

Tanah Rata Cameron Highlands...

IPOH - Hujan tanpa henti yang kadang kala lebat sejak pagi tadi menyebabkan...

Alami Keguguran, Sharifah Sakinah...

PELAKON terkenal, Sharifah Sakinah yang mengalami keguguran baru-baru ini menganggap masih belum rezeki...

Pembukaan, SOP Masjid Bidang...

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membuat keputusan berkaitan prosedur operasi...

Macau Scam Tidak Pilih Mangsa

KUANTAN – Sindiket Macau Scam mencari mangsa tanpa memilih, jadi sesiapa sahaja berisiko terjebak dan tertipu.

Sama ada pelajar, buruh, doktor, warga emas, pesara, malah polis, kesemuanya berisiko menjadi sasaran jenayah tanpa sempadan ini.

Pendek kata, jika tidak berhati-hati menjawab panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, sesiapa sahaja bakal menjadi mangsa kerana sindiket itu pakar dalam memanipulasi keadaan sebaik mengesan ‘getar’ suara yang membayangkan ketakutan mangsa.

Itulah yang dialami oleh seorang juruteknik yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bakar, 38, dari Beserah di sini apabila wang simpanannya selama lebih 15 tahun hilang sekelip mata hanya kerana terpedaya dengan panggilan yang didakwa dari ‘mahkamah’ pada Mei lalu.

“Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai petugas di Mahkamah Kuala Lumpur dan mendakwa saya mempunyai tunggakan kad kredit. Saya nafikan sebab tidak pernah memiliki kad kredit dari bank yang disebutnya.

“Selepas itu, dia suruh saya buat laporan polis menerusi talian yang disambungkannya berdasarkan kemungkinan ‘ada orang salah guna maklumat peribadi saya’,” jelasnya kepada Bernama baru-baru ini.

SERAH BUTIR PERIBADI

Apabila talian disambung kepada seorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis di Bukit Aman, Abu Bakar dikatakan pula terlibat dengan penggubahan wang haram dan ada waran tangkap ke atasnya.

“Siapa tidak panik apabila dituduh dengan pelbagai jenayah yang tidak pernah dilakukan, lebih-lebih lagi cara ‘pegawai polis’ itu menyoal siasat dengan tegas dan garang.

“Caranya itu seolah-olah saya ini penjenayah selain mengugut akaun bank saya akan dibekukan,” katanya.

Ditekan perasaan cemas, beliau menyerahkan segala butiran akaun peribadinya serta nombor pin kepada ‘pegawai polis’ itu, selain turut memindahkan wang ke nombor akaun yang diberikan. Beliau hanya sedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi lelaki berkenaan.

Seorang lagi mangsa, pegawai polis yang mahu dikenali sebagai Lokman, 48, yang bertugas di bandar Kuantan turut berkongsi pengalaman apabila nyaris terpedaya dengan taktik licik sindiket Macau Scam.

“Cara mereka berkomunikasi dan soal siasat memang meyakinkan, macam pegawai polis. Saya sendiri berasa gerun bila mereka bertanyakan soalan, jadi tidak hairanlah jika orang awam mudah terpedaya,” katanya.

Menurutnya anggota sindiket berkenaan yang menyamar sebagai koperal itu bagaimanapun segera memutuskan talian telefon selepas menyedari mangsa yang dihubungi itu adalah pegawai polis yang sebenar.

TIDAK AMBIL PEDULI

Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye mengakui terkejut setiap kali membaca kisah mangsa yang tertipu dengan sindiket itu sehingga melibatkan jumlah kerugian yang amat besar.

Beliau menegaskan, perkara itu amat membimbangkan kerana mangsa seolah-olah tidak tahu atau tidak ambil tahu mengenai penipuan berkenaan.

Lebih membimbangkan, mangsa terdiri daripada golongan terpelajar dan berjawatan tinggi.

“Ini mungkin menunjukkan bahawa orang ramai semakin kurang membaca atau sememangnya tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Jika benar, maka pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan pihak lain termasuk media untuk menyebarluaskan kesedaran mengenai Macau Scam dan taktik terbaharu yang digunakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Lee berkata berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, pada 2017 sebanyak 4,500 kes penipuan melalui panggilan telefon dan khid­mat pesanan ringkas (SMS) dilaporkan berlaku di seluruh negara melibatkan kerugian sebanyak RM113.11 juta.

TUKAR MODUS OPERANDI

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan penjenayah semakin berani dan kreatif sehingga mampu menukar modus operandi dan menyamar sebagai pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi berkaitan.

Sindiket itu dipercayai mempunyai tenaga “pengajar” yang hebat kerana sentiasa meningkatkan taktik penyamaran yang sukar dikesan oleh mangsa.

Ini menunjukkan mereka amat profesional dan sentiasa bergerak beberapa langkah di hadapan bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa dan sentiasa meningkatkan kemahiran menipu sehingga mampu bercakap dan membuat ugutan seolah-olah mereka adalah pegawai agensi terbabit.


“Pihak berkuasa terutamanya polis perlu berada lebih hadapan daripada mereka agar dapat menangani penipuan ini dengan lebih berkesan. Pihak berkuasa perlu mempunyai kakitangan yang mahir Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) agar mudah menjejaki penjenayah.

“Pada masa ini pihak berkuasa seolah-olah ketinggalan kerana sindiket terbabit berjaya mengeksploitasi teknologi terbaru dan menukar modus operandi dengan kerap,” tegas beliau.

ABAIKAN PANGGILAN MENCURIGAKAN

Penggunaan teknologi terbaru, kata Lee, harus dieksploitasi oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah itu terutamanya bagi mengesan lokasi sebenar pemanggil dan akaun yang digunakan untuk pemindahan wang mangsa.

Bagi tujuan itu, pihak polis perlu bekerjasama dengan agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cybersecurity Malaysia untuk menangani masalah berkenaan serta meningkatkan aktiviti risikan dengan kerjasama pihak berkuasa negara lain terutamanya yang berjiran dan sering menjadi pilihan sindiket.

(CyberSecurity Malaysia adalah pusat kepakaran keselamatan siber nasional dan agensi yang bertanggungjawab memelihara aspek e-Keselamatan nasional.)

Lee meminta orang ramai mengabaikan panggilan dari nombor yang tidak dikenali atau mencurigakan atau memuat turun applikasi telefon yang boleh mengecam panggilan ‘scam’.

Mangsa perlu tampil membuat laporan polis agar dapat membantu pihak berkuasa mengumpul maklumat berkaitan supaya dapat menanganinya dengan berkesan.

Lee juga berharap mangsa dapat berkongsi pengalaman dengan keluarga dan rakan-rakan supaya tidak menjadi mangsa Macau Scam.

NASIHAT POLIS DIRAJA MALAYSIA

Mampukah seseorang itu mengabaikan sebarang panggilan telefon daripada pihak polis, mahkamah atau bank mengenai masalah yang terkait dengannya?

Sukar bukan? Atas sebab itu, masih ramai terus melayan sekali gus tertipu setelah menerima panggilan yang kononnya daripada pihak-pihak tertentu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelakkan ditipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof meminta orang ramai supaya mengingatkan keluarga dan rakan mengenai bahaya Macau Scam dan supaya:

Jangan menjawab telefon jika nombor tidak dikenali dan putuskan talian.

Jangan berbincang mengenai kad bank, tidak kira siapa mereka dan putuskan talian.

Tidak melayan jika pemanggil bercakap tentang anda memenangi sesuatu dan putuskan talian.

Segera putuskan talian, jika pemanggil bercakap tentang Cukai Keselamatan Awam dan Jabatan Hasil Dalam Negeri.

Putuskan talian jika pemanggil mengakui dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan bercakap pasal waran tangkap (Antara taktik terbaharu).

Jangan klik pada sebarang pautan yang tertera pada semua mesej teks dan padamkan semua.

Jangan jawab semua panggilan telefon bermula dengan 08-111…

Disunting oleh Sarimah Othman – BERNAMA

Kategori