PUTRAJAYA – Malaysia diberi penghormatan dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Umum Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) sesi ke-14 yang akan berlangsung pada tahun 2021.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pemilihan Malaysia diumumkan Ketua Pengarah ISESCO, Dr Abdulaziz Othman Altwaijr pada Persidangan Umum ISESCO sesi ke-13 yang berlangsung di Rabat, Maghribi semalam.
“Malaysia komited untuk menganjurkan persidangan umum akan datang dengan efektif bagi menjayakan matlamat penubuhan ISESCO,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Maszlee dalam ucapannya ketika sidang pleno persidangan itu semalam mengulangi pendirian kerajaan Malaysia dalam memberikan sokongan padu berterusan kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya.
Beliau turut menekankan keperluan terhadap pendidikan yang berkualiti dan menyediakan golongan belia dengan pengetahuan dan ilmu yang diperlukan bagi mendepani cabaran-cabaran masa depan.
Maszlee turut menggesa negara-negara anggota ISESCO berganding bahu dalam melaksanakan pembangunan mampan dan bekerjasama dalam program dan aktiviti penyelidikan.
Beliau juga mempelawa negara-negara anggota ISESCO untuk menghantar pelajar pelajar mereka mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia.
ISESCO yang beribu pejabat di Rabat, Maghribi, ditubuhkan pada Mei 1979 dan kini mempunyai 52 negara anggota, sekali gus menjadi pertubuhan negara Islam terbesar yang fokus dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan. – BERNAMA