IPOH – Lans koperal polis yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di sini pagi tadi tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan berbual seperti biasa di telefon dengan ibunya semalam, demikian menurut ibu saudaranya.
Wanita yang enggan dikenali tersebut berkata mendiang yang merupakan anak kedua daripada lima beradik sempat berpesan kepada ibunya agar tidak bimbang tentang keadaan dirinya.
“Semasa berbual dengan ibunya semalam, mangsa berkata dia dalam keadaan okay sahaja. Sebelum ini apabila dia (mangsa) ada masalah, dia akan berkongsi dengan keluarganya.
“Dia sering menghubungi ibunya setiap dua hari sekali untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita apa sahaja dan pulang ke Kajang, Selangor serta rumah neneknya di Ampang setiap bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.
Menurutnya mendiang juga tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin kerana mahu memberi tumpuan terhadap kerjayanya sebagai anggota polis.
Katanya mendiang yang berusia 29 tahun memang bercita-cita untuk menjadi anggota polis sejak kecil kerana inspirasi daripada mendiang datuknya yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.
Wanita itu berkata mayat mendiang akan dibawa pulang ke Kajang untuk disemadikan.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata mayat anggota polis itu ditemui di bahagian belakang kuarters Balai Polis Pekan Baru kira-kira 6.15 pagi.
Katanya siasatan lanjut mengenai insiden itu sedang dijalankan dengan mengambil kira pelbagai aspek.
“Punca sebenar kematian belum diketahui, kita masih menyiasat. Terdapat satu kesan tembakan yang menembusi kiri kanan kepala mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pagi tadi. – BERNAMA