PARIT BUNTAR – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di perairan Tanjung Piandang, di sini petang semalam.
Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Kuala Kurau Lt. Kdr Mohamad Zainal berkata pihaknya menerima maklumat penemuan mayat itu daripada sekumpulan nelayan kira-kira 5.25 petang.
Sebuah bot peronda APMM digegaskan ke lokasi untuk mengambil mayat berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau, katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya pemeriksaan ke atas mayat tersebut tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat. – BERNAMA